SABAK BERNAM 14 Feb. – Kerajaan diharapkan dapat meneruskan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan nelayan terutama nelayan pesisir pantai yang kini berdepan dengan segala macam kepayahan akibat peningkatan kos sara hidup.
Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Besar, Fikri Mohd. Khomar berkata, BSH bagi golongan ini sangat bermakna bagi menampung perbelanjaan harian mereka.
Katanya, BSH berjumlah RM300 itu menjadi ‘talian hayat’ kepada nelayan kerana pendapatan harian hasil tangkapan ikan adalah tidak menentu, malah jika tidak bernasib baik, mereka pulang dengan tangan kosong.

“Secara purata, pendapatan diraih nelayan pesisir pantai hanya RM45 hingga RM60 sehari dan mereka ini tidak sepanjang masa boleh turun ke laut. Jadi, dengan adanya BSH ia dapat membantu meringan beban bagi nelayan meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Dalam pada itu, Fikri juga meminta kepada kerajaan agar mengekalkan bantuan subsidi minyak petrol kepada nelayan yang ketika ini golongan itu mendapat kuota minyak petrol sehingga 50 liter.
Jelasnya, subsidi itu sangat diperlukan para nelayan kerana tanpanya, mereka tidak mampu meneruskan kelangsungan disebabkan hasil tangkapan tidak mampu menampung kadar kos yang dikeluarkan.
“Apa sekalipun alasan oleh pihak kerajaan, jangan sesekali bantuan kepada para nelayan ini disekat atau dikurangkan kerana mereka memerlukan semua ini untuk kelangsungan dan jika kita tidak membantu, isu kemiskinan akan terus melebar,” jelasnya.











