PPM tahan 11 PATI seludup masuk negara  - Utusan Malaysia

PPM tahan 11 PATI seludup masuk negara 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Hasrat 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia memasuki negara ini melalui laluan tidak sah gagal selepas kesemua mereka ditahan di dua lokasi berasingan sekitar Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini semalam.

Kesemua lelaki berusia lingkungan 21 hingga 44 tahun itu ditahan di sekitar Jeti Awam Pulau Ketam dan Jalan Besar Bagan Teo Chew antara pukul 11.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Difahamkan kesemua PATI berkenaan tiba pada malam Selasa lalu melalui laluan tikus berdekatan hutan paya bakau pulau berkenaan.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas hasil risikan maklumat diterima pihaknya mengenai kehadiran PATI tersebut.

“Sepasukan anggota termasuk pegawai yang diarahkan melakukan rondaan itu kemudiannya berjaya menahan enam orang PATI ditahan di Jalan Besar Bagan Teo Chew dan lima orang ditahan di Jeti Awam Pulau Ketam,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khairuddin berkata, pada operasi sama, pihaknya turut menahan tiga lagi PATI warga Indonesia di jeti awam pulau berkenaan kerana tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan.

Menurutnya, kesemua PATI itu kemudiannya telah dibawa ke markas operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15 (1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih tempoh yang ditetapkan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×