IPOH – Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataan badan induk itu yang mendakwa Malaysian Football League (MFL) telah menolak permohonan penundaan tarikh perlawanan Liga Super Malaysia 2019 antara Perak dan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 15 Februari ini.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, isu berkaitan penolakan itu sama sekali tidak timbul memandangkan Pafa telah membuat permohonan kepada pihak MFL pagi semalam.
“Untuk makluman, pihak Pafa telah menghantar permohonan (penundaan) berkenaan pukul 11.10 pagi semalam (Rabu).
Berita berkaitan:
“Pafa mengambil maklum MFL perlu melalui proses tertentu termasuk mendapatkan persetujuan bersama pihak Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan kelulusan ahli lembaga pengarah MFL sebelum meluluskan permohonan ini,” katanya melalui satu kenyataan rasmi hari ini.
Semalam media tempatan melaporkan, Ahmad Faizal mendakwa FAM telah menolak permohonan PAFA untuk menangguhkan perlawanan antara Perak dan Kuala Lumpur ke satu tarikh lain. – Bernama











