‘Sekolah pendidikan vokasional’ atau neraka? - Utusan Malaysia

‘Sekolah pendidikan vokasional’ atau neraka?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALMATY 12 Feb. – Kerajaan China meng­gelarkan kem-kem tahanan yang dibangunkan untuk etnik Uighur dan Kazakh sebagai ‘sekolah pendidikan vokasional’, namun kedua-dua etnik minoriti itu menganggap­nya sebagai ‘neraka’.

BBC menyingkap beberapa lagi kisah berkaitan etnik Kazakh dan keluarga mereka yang pernah disumbat dalam kem-kem tahanan serta bagaimana mereka mengharungi penindasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa China.

Seorang wanita etnik Kazakh yang dikenali sebagai Aibota Serik memberitahu, bapanya, Kudaybergen Serik yang merupakan seorang imam di daerah Tarbagatay di Xinjiang ditahan pihak berkuasa China pada tahun lalu.

“Saya tidak tahu kenapa bapa saya dipenjara. Dia tidak me­langgar undang-undang, malah dia tidak dibicarakan atas ‘ke­salahan’ yang dilakukan,” katanya sambil memegang gambar bapanya dan mula menangis.

Ketika ditemui oleh wartawan BBC di sini, Aibota dan beberapa kumpulan yang terdiri daripada komuniti Kazakh berkumpul di sebuah pejabat kecil bagi menyediakan satu petisyen mendesak kerajaan negara ini untuk membantu membebaskan saudara mereka yang didakwa ditahan dalam kem tahanan China.

Terdapat lebih sejuta etnik Kazakh tinggal di China. Selepas berakhirnya era Kesatuan Soviet, ribuan daripadanya berpindah ke Kazakhstan dan kini, kebanyakan mereka sudah terputus hubungan dengan keluarga di China.

Nurbulat Tursunjan yang berpindah ke Almaty pada 2016 memberitahu, ibu ba­panya tidak dapat meninggalkan China dan datang ke negara ini ke­rana kerajaan Beijing merampas pasport mereka.

Seorang lagi etnik Kazakh, Bekmurat Nusupkan menyatakan, saudara-maranya di China takut untuk bercakap di telefon atau menggunakan aplikasi WeChat kerana bimbang dimasukkan ke kem tahanan.

“Bapa mertua melawat saya di sini pada Februari tahun lalu dan dari rumah saya, dia mene­lefon anak lelakinya di China dan tidak lama selepas itu, anaknya ditahan pihak berkuasa hanya kerana menerima panggilan dari Kazakhstan,” katanya.

Orynbek Koksybek merupakan seorang daripada etnik Kazakh yang terpaksa meringkuk selama beberapa bulan di dalam kem tahanan China.

Katanya, dia ditahan selama tujuh hari dengan tangannya digari, kaki diikat, serta dicampak ke dalam lubang selepas disimbah dengan air sewaktu musim sejuk.

“Saya tidak ingat apa yang berlaku selepas itu dan anggota penguat kuasa beritahu saya adalah pengkhianat kerana memiliki dua kerakyatan, berhutang, serta memiliki tanah dan perlu dihukum.

“Kesemua dakwaan itu tidak benar dan saya diperlakukan sesuka hati oleh pihak berkuasa China,” tambahnya.

Seminggu selepas itu, Orynbek memaklumkan dia dihantar ke sebuah lagi kem untuk belajar lagu kebangsaan China dan bahasa Cina, selain diberitahu dia boleh dibebaskan jika berjaya mempelajari sebanyak 3,000 perkataan.

Sehubungan itu, dia mene­gaskan jika benar China ingin mendidik etnik Kazakh dan Uighur, mengapa mereka perlu digari dan semua penahanan dibuat adalah kerana mereka beragama Islam.

Setakat ini, Kedutaan China di Kazakhstan tidak memberi sebarang reaksi apabila dihubungi BBC.

Kerajaan Kazakhstan sebelum ini menyatakan larangan terhadap warga Cina di China adalah hal ehwal negara itu dan enggan campur tangan.

Namun, kerajaan negara ini bersedia untuk menghulurkan bantuan sekiranya mana-mana rakyat Kazakhstan ditahan di China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×