"Terima kasih banyak Bari..." - Utusan Malaysia

“Terima kasih banyak Bari…”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 10 Feb. – “Terima kasih. Kalau dia hidup memang saya akan ucap terima kasih banyak-banyak. Ibarat dia berganti nyawa dengan kami, demi selamatkan kami semua”.

Demikian luahan pilu sambil diiringi tangisan berulang kali yang diucapkan Nordiana Alwani Jaafar, 33, ketika bertemu keluarga Abdul Bari Asyraf Mohd., 31, di pekarangan bilik mayat, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kira-kira pukul 10.30 pagi ini. 

Tanpa memikirkan tahap kesihatannya yang masih memerlukan pemeriksaan doktor pakar, wanita ini bergegas ke bilik mayat untuk menunaikan hajatnya sejurus selepas dia dibenarkan keluar dari wad pagi ini. 

Menurut Nordiana Alwani, arwah Abdul Bari Asyraf merupakan orang pertama yang terjun menyelamatkan mereka berlima selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu ibu tiri, Suryati Rusly, 37, terjunam ke dalam muara Sungai Terengganu di Pulau Warisan di sini, dan masih segar dalam ingatannya setiap kata-kata pemuda itu di samping kepantasannya bertindak menyelamatkan mangsa.

NORDIANA ALWANI JAAFAR, 33, (kanan) seorang daripada lima sekeluarga yang terselamat dalam kenderaan

NORDIANA ALWANI JAAFAR, 33, (kanan) seorang daripada lima sekeluarga yang terselamat dalam kenderaan pacuan empat roda terjunam di Pulau Warisan, bertemu ibu mangsa lemas, Masitah Awang sambil  mengucapkan terima kasih, di HSNZ Kuala Terengganu hari ini. – UTUSAN ONLINE/ AZLAN BAHRUM

Katanya, arwah jugalah yang membantu membawanya dan anak, Iman Nur Hana Luthfia Mohd. Amiruddin, tiga tahun, hingga ke tebing selepas mereka berjaya keluar dari kereta sebelum terjun semula bagi menyelamatkan orang lain. 

“Dia datang dekat kami dan kemudian panggil orang lain suruh tolong. Masa itu air sudah paras pinggang dan kami hampir tenggelam. 

“Mulanya saya dan anak diselamatkan orang lain tetapi sebab lelaki itu kejang otot jadi, arwah ambil alih tugas bawa kami ke darat dan kemudian dia terjun sekali lagi untuk bantu lelaki itu.

“Sebab dia yang pertama terjun mungkin dia keletihan dan arus pun tengah kuat masa itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×