PUTRAJAYA 10 Feb. – Isu berkaitan kelayakan pendidikan membabitkan pemimpin di peringkat Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang membelenggu Pakatan Harapan (PH) ketika ini perlu diperjelaskan kepada umum.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, penjelasan itu penting kerana sekiranya isu berkenaan melibatkan universiti-universiti yang tidak mendapat akreditasi, ia bukanlah masalah yang besar.
Menurut beliau, ini memandangkan terdapat banyak universiti yang tidak memperoleh akreditasi pada 2005 dan tahun-tahun sebelumnya.
“Yang penting akhirnya adalah orang yang diberi amanah itu mempunyai sifat ‘keamanahan’ dan berusaha dengan sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab dengan semua kemampuan yang ada pada diri.. Itu yang penting,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Putrajaya Park’s Day di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung isu kelayakan akademik melibatkan beberapa pemimpin PH termasuk Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang menjadi polemik dalam kalangan rakyat sejak kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Khalid berkata, kementerian sedang menggerakkan usaha mewartakan taman-taman awam di seluruh negara iaitu merangkumi keluasan sekurang-kurangnya 250 ekar atau 101 hektar tanah setiap negeri.
Beliau menjelaskan, usaha yang diselenggara oleh Landskap Negara itu adalah bagi mengekalkan dan melindungi kawasan-kawasan terbabit agar ia boleh dikunjungi oleh rakyat dan warga negeri masing-masing.
“Langkah ini adalah satu proses berterusan dan sekarang ini saya difahamkan negeri yang telah kenal pasti tempat untuk diadakan taman seumpama itu antaranya Pahang yang telah kenal pasti seluas 250 ekar (150 hektar) tanah.
“Di Wilayah Persekutuan, kita ada taman berskala besar di Taman Persekutuan Bukit Kiara seluas 370 ekar. Mungkin negeri-negeri lain akan turut sama tetapi kita belum dapat maklum balas,” katanya.
Mengulas laporan media hari ini berhubung 12 setiausaha politik kepada menteri Kabinet masih gagal mengisytiharkan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khalid berkata, hal ehwal berkaitan jawatan itu adalah tertakluk di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Sehubungan itu jelasnya, urusan berkaitan mereka termasuk pengisytiharan harta kepada SPRM adalah di bawah perhatian JPM.
“Kadangkala, ada yang sudah diterima (SPRM) tetapi lambat dimasukkan (portal khas mydeclaration.sprm.gov.my),” katanya. – UTUSAN ONLINE










