Kerjasama UMNO-Pas setiap bahagian di Johor - Utusan Malaysia

Kerjasama UMNO-Pas setiap bahagian di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 8 Feb. – Setiap bahagian UMNO di Johor diminta menggerakkan usaha mengadakan kerjasama dengan kepimpinan Pas di kawasan masing-masing.

Pengerusinya, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, gerakan itu akan memperkukuhkan lagi hubungan antara UMNO dan Pas dalam usaha menjaga kepentingan orang-orang Melayu dan Islam.

“Kerjasama ini bukan sahaja semasa pilihan raya umum tetapi untuk UMNO dan Pas saling bantu-membantu serta memainkan peranan yang merentasi kepentingan parti masing-masing.

“Di atas dasar ini kerjasama yang dijalin antara kedua-dua belah pihak semakin meningkat dan seterusnya akan dibawa semasa menghadapi pilihan raya kecil (PRK) di Semenyih nanti.

“Kita berharap kerjasama ini akan terus berkekalan walaupun ada tuduhan atau sindiran ke atas UMNO dibuat sesetengah pihak yang mula bimbang hubungan UMNO dan Pas itu,” katanya selepas merasmikan mesyuarat tahunan Wanita UMNO Bahagian Pontian, di sini pagi tadi.

Beliau berkata, kebimbangan itu menyebabkan ada pihak menuduh UMNO parti kafir hanya semata-mata tidak mahu melihat dua parti Melayu terbesar di negara ini bekerjasama.

Tambah Ir. Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian, kerjasama UMNO dan Pas di Johor sudah dijalankan UMNO Bahagian Tebrau disusuli dengan daerah ini.

“UMNO dan Pas Pontian akan mengadakan program bersama-sama bulan depan yang dihadiri Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan,” katanya.

Selain itu katanya, kepimpinan tertinggi Pas dan UMNO di sini berharap dapat mengundang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang datang ke majlis tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berharap semua cawangan UMNO di Johor dapat mengadakan mesyuarat bermula 14 Februari hingga 30 April ini sebagaimana ditetapkan Majlis Tertinggi.

Katanya, walaupun pelbagai cabaran dan halangan yang terpaksa dilalui UMNO ketika ini termasuk ada mengatakan UMNO akan ‘ditalkinkan’, itu tidak mengugat kesetiaan ahli UMNO kepada parti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×