Orang Islam mesti kaya - Utusan Malaysia

Orang Islam mesti kaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPENA Tahun Baharu 2019 ini orang Muslimin diajak berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan kecemerlangan dan potensi diri sehingga berjaya menjadi orang yang kaya-raya. Ini kerana umumnya umat Islam masih jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi.

Berdasarkan statistik Kementerian Hal Ehwal Ekonomi tahun 2016, pendapatan kasar isi rumah di Malaysia menunjukkan kaum bumiputera ketinggalan dengan pendapatan purata bulanan RM6,267 berbanding kaum Cina RM8,750 dan India RM7,150 serta kaum-kaum lain RM4,951.

Laman web Forbes.Com pula menyenaraikan satu-satunya orang Melayu terkaya di Malaysia pada 2018 adalah Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary. Itu pun beliau berada di tangga ke-12 berbanding pesaing-pesaingnya yang lain.

Sehubungan itu setiap Muslimin perlu berusaha keras untuk mencapai cita-cita bagi menjadi orang kaya dan bukan setakat cukup-cukup makan sahaja.

Ini bukanlah bertujuan untuk mendabik dada dan menyombong diri sehingga lupa daratan. Akan tetapi banyak keperluan hidup di dunia dan di akhirat memerlukan individu Muslim menjadi kaya raya.

Antaranya untuk menunaikan kewajipan zakat harta supaya dapat diagihkan kepada asnaf memerlukan.

Sudah tentu untuk merealisasikannya perlu kepada sumber pendapatan yang melebihi daripada had kifayah atau garis kecukupan iaitu kelayakan sesebuah keluarga untuk mengeluarkan zakat sebagaimana ditetapkan pusat pungutan zakat setempat.

Ataupun melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Yang mana PGK bermaksud kadar pendapatan isi rumah bagi mengukur status kemiskinan sesuatu isi rumah di bawah pendapatan bulanan RM940 dengan pendapatan perkapita RM240 ke bawah. Manakala di kawasan bandar ditetapkan di bawah RM1,500.

Selain itu bagi memenuhi kewajipan mencari yang halal dan berkualiti umat Islam perlu sejumlah pendapatan tertentu. Jika seseorang berada di bawah paras kemiskinan boleh membeli apa sahaja asal dapat penuhi keperluan hidup.

Atau terpaksa meminta-minta dan berharap simpati orang lain. Namun jika orang Islam kaya perkara ini tidaklah menjadi bebanan kepada mereka di samping dapat memenuhi keperluan untuk mengguna barangan dan perkhidmatan halal dan berkualilti (halalan tayyiban) seperti mana disyariatkan.

Begitu pula, orang Islam yang kaya pasti mempunyai pendapatan lebihan. Oleh itu mereka dapat pula memperbanyakkan bersedekah dan berwakaf sehingga manfaatnya dinikmati zaman-berzaman.

Dengan itu hartawan Muslim boleh membangun masjid, sekolah dan universiti bagi melahirkan golongan pelajar cemerlang dunia dan akhirat di samping pelajar turut mendoakan pewakaf.

Persoalannya bagaimana untuk menjayakan semua itu jika ekonomi orang Islam ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Malah boleh jadi bersedekah di masjid pada Jumaat pun masih berkira-kira kerana ada keperluan lain perlu diutamakan.

Dalam pada itu diingatkan supaya hartawan Muslim tidak keterlaluan menunjuk-nunjuk kemewahan yang ada kerana boleh menimbulkan fitnah dan meluka perasaan golongan fakir miskin.

Malah golongan yang termasuk dalam kelompok T20 iaitu isi rumah berpendapatan melebihi RM13,000 sebulan usahlah menyombong diri kerana dituntut untuk mensyukuri nikmat kurniaan Tuhan.

Elakkan juga memperoleh kekayaan dengan jalan mudah dan dilarang agama kerana akhirnya akan dihumban ke dalam neraka. Betulkan niat menjadi kaya untuk meninggi martabat agama dan menolong saudara seagama. Dalam pada itu usah pula ada yang memilih untuk menjadi miskin dan papa kedana kerana memikirkan besarnya tanggungjawab dan amanah golongan kaya.

Dalam masa sama ia tidak boleh dijadikan alasan untuk berpeluk tubuh dan mengharap bantuan orang lain kerana bakal mencemar imej Islam dan ummah secara umum. Apa yang penting ialah bagaimana hartawan Muslim dapat menggunakan kekayaan yang ada untuk kepentingan agama dan beribadah kepada Allah SWT.

Perlu juga diingat betapa seseorang yang kaya di dunia belum tentu kaya di akhirat. Apatah lagi jika gagal dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap harta kekayaan yang diperoleh.

Justeru, berpadalah dengan kekayaan yang dimiliki dan bersyukurlah atas segala pemberian Ilahi.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×