KUALA LUMPUR 6 Feb. – Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) mempelawa orang ramai untuk menjadi wakil atau ejen kaunseling pihaknya dalam menyelesaikan isu-isu permasalahan kredit dan perbankan yang dipercayai semakin serius akhir-akhir ini.

Presidennya, Rosland Mohd. Ariff berkata, tawaran daripada pihaknya itu susulan dengan majlis pelancaran Biro Pengaduan Awam 4PM yang akan disempurnakan pada 20 Februari ini di No. 3.8, Tingkat 3, Spectrum Mall, Bandar Baru Ampang.
Menurutnya, misi utama 4PM adalah untuk memastikan pengguna dan peminjam mendapat keadilan, pembelaan serta layanan yang tulus apabila institusi-institusi kewangan bertindak melelong harta dan membankrapkan peminjam yang gagal membuat bayaran.
“4PM sangat serius memastikan bank-bank dan syarikat kredit tidak sewenang-wenangnya melupuskan harta dan membankrapkan peminjam dan penjamin tanpa mengikut SOP sedia ada.
“4PM juga membantu peminjam yang dibebani faedah yang terlalu tinggi dan caj-caj yang tak masuk akal.
“Justeru, 4PM mempelawa orang ramai untuk bergabung sama sebagai wakil atau ejen kaunseling kami,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Sejak lima tahun lepas, 4PM, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Rosland berjaya membebaskan sebilangan peminjam daripada belenggu muflis.
Dengan kata lain, berbaloi menerusi situasi menang-menang di sebelah peminjam dan pihak bank.
Naik turun tangga puluhan bank dan bukan sekali dua dihalau keluar pegawai sebilangan institusi kewangan sudah jadi perkara biasa buat Rosland dan staf-staf 4PM.
Dalam kebanyakan kes rundingan penyelesaian hartanah terutama rumah milik pengadu berjaya diselamatkan oleh 4PM. Malah, terdapat satu dua kes sempat dibatalkan beberapa jam saja sebelum jualan lelong dibuka.
Maka tak hairanlah, dari sebuah NGO yang dipandang sepi sebelah mata namun berkat kesungguhan Rosland pada 2017 4PM dipelawa menjadi rakan Jabatan Insolvensi Malaysia.
Dilaporkan sebanyak 1.1 peratus individu jatuh muflis antara 2014 hingga 2016 di negara ini.
Setakat Disember 2017 sahaja, terdapat 3.7 juta pemegang kad kredit utama dalam negara, dengan edaran 9.9 juta keping kad. Dalam tempoh sama, bilangan kes muflis dek ‘penangan’ kad ini mencecah 1,600 orang.
Rosland menarik perhatian mengenai kes hutang kenderaan tertunggak yang menghadapi tindakan daripada bank – antara kes-kes yang ditangani oleh 4PM.
Kata beliau, dalam kes berkenaan, notis peringatan untuk ditarik setelah dua bulan 21 hari dikeluarkan oleh pihak bank kepada pemilik kenderaan.
Selepas ditarik, kenderaan berkenaan akan dilelong dengan harga yang lebih dari harga pasaran.
Seterusnya, baki hutang akan dituntut oleh pihak bank dan jika gagal membuat bayaran, tindakan sivil untuk dibankrap akan berlaku. Pada masa sama, akaun akan dibekukan dan semua transaksi akan menjadi lebih sukar.
“Dalam hal ini, tindakan dan penyelesaian yang akan dibuat oleh 4PM adalah membatalkan semua tindakan sivil. Kemudiannya kami akan berunding dengan pihak bank bagi pihak pengadu.
“4PM akan memberi cadangan supaya pengadu dapat memiliki dan membayar kenderaan dengan mudah,” katanya.
Kata Rosland, visi 4PM adalah merancang dan berharap menjadi sebuah badan NGO yang bertindak sebagai pusat sehenti untuk penyelesaian masalah kredit, perbankan serta tindakan sivil untuk orang ramai.
Rosland boleh dihubungi di talian 03-23867835 atau 019-2531000/019-3971000/1700818707 serta www.ppppmalaysia.com.my/fb.ppppmalaysia.
-UTUSAN ONLINE










