KUALA LUMPUR 1 Feb. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menyemak semula pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta menyediakan pelan menaik taraf sistem pengangkutan kereta api ke Pantai Timur sebagai jaminan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Pensyarah di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pelan ini akan mengambil kira perkembangan ekonomi dalam 10 tahun akan datang di wilayah berkenaan.

Katanya, di bawah pelan baharu itu, pekerja-pekerja tetap diperlukan, tetapi meliputi pelbagai bidang atau industri.
“Pelan menaik taraf sistem kereta api ini bukan setakat memberi peluang makan gaji dengan projek berkenaan, tetapi juga menyediakan peluang berniaga daripada projek tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas isu kira-kira 2,250 rakyat tempatan kehilangan pekerjaan akibat keputusan kerajaan menggantung pembinaan projek itu untuk rundingan semula, Julai lalu.
Kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu kerajaan Malaysia masih berunding dengan kerajaan China berkenaan projek ECRL berkenaan.
Bagaimanapun, kenyataan bercanggah oleh beberapa pemimpin kerajaan termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuatkan rakyat kebingungan serta tidak pasti akan nasib projek tersebut.
Sementara itu, Profesor Kanan di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Dr. Shazali Abu Mansor berkata, mungkin ada projek infrastruktur lain yang lebih baik dari ECRL seperti pembinaan rangkaian lebuh raya yang menghubungkan kesemua bandar-bandar di Pantai Timur.
Katanya, mana-mana projek infrastruktur yang dibangunkan akan mendatangkan kebaikan seperti memudahkan pemasaran barangan, tetapi perlu dilihat juga kos yang akan terlibat.
“Dalam menilai sesuatu projek, kita bukan sahaja melihat kebaikan projek itu, tetapi perlu dinilai sama ada faedah ekonomi projek itu mengatasi kos ekonomi yang ditanggung.
“Kehilangan pekerjaan lebih 2,000 rakyat tempatan tidak sepatutnya menjadi isu kerana pekerjaan ini adalah pekerjaan dalam peringkat pelaksanaan dan bukan bersifat tetap,” ujarnya.











