KUALA LUMPUR 31 Jan. – Langkah menubuhkan tribunal untuk menyiasat salah laku Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika kesemua ahlinya sudah meletakkan jawatan dilihat sebagai memalukan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, peguam terkemuka negara, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas melakukan permohonan maaf kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh rakyat berhubung isu tersebut.
Menerusi ulasan yang dilaporkan portal Malaysiakini, Mohamed Haniff Khatri berkata, Tommy wajib mengambil segala langkah yang perlu di sisi Perlembagaan Persekutuan untuk memperbetulkan segala kesalahan dan kekhilafan tersebut.
“Tindakan Tommy mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan peguam yang dilantik oleh beliau untuk mewakili pejabat Peguam Negara, M. Puravelan boleh dianggap berbentuk salah campur dalam urusan keadilan.
“Ia juga boleh dalam budi bicara mutlak pihak berkenaan dianggap secara lanjut sebagai penghinaan terhadap tribunal berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Haniff Khatri berkata, insiden tersebut disifatkan sebagai mengejutkan kerana dicetuskan oleh pejabat Peguam Negara sendiri walaupun tanggungjawab utamanya adalah sebagai penasihat undang-undang kerajaan.
Katanya, perkara itu secara dasarnya telah menimbulkan krisis perlembagaan yang sepatutnya menjadi tanggungjawab semua pihak untuk dielakkan dan dihindarkan dalam era Malaysia baharu. – UTUSAN ONLINE











