KUALA LUMPUR 31 Jan. – Seorang guru wanita berusia 55 tahun maut selepas kereta yang dipandunya merempuh tembok konkrit di Plaza Tol Sri Putra, Bangi, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang dan mangsa dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi ke rumahnya.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan teruk dan disahkan meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Dzaffir, pihaknya kini menantikan laporan bedah siasat dan akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti bagaimana kemalangan berlaku.
Jelasnya, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan secara melulu hingga menyebabkan kematian. – UTUSAN ONLINE











