[VIDEO] Guna lorong kecemasan, 52 saman dikeluarkan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Guna lorong kecemasan, 52 saman dikeluarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Takut terlepas waktu solat Asar.

Video oleh AZRUL RADI

Itu antara helah yang diberikan pengguna jalan raya selepas ditahan kerana menggunakan lorong kecemasan dalam Op Potong ‘Q’ di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi tersebut memberi tumpuan kepada kesalahan menggunakan lorong kecemasan.

“Selain di lokasi tersebut, operasi yang bermula pukul 6.30 petang itu turut dijalankan di Lebuh Raya Connought, Cheras di sini.

“Operasi yang tamat pukul 8 malam tadi menyaksikan sebanyak 52 saman dikeluarkan,” katanya.

Menurut Zulkefly, kedua-dua operasi diketuai Pegawai Turus Penguatkuasaan JSPT Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Mohd. Shafiee Ishak.

Jelasnya, operasi pada hari ini memberi tumpuan kepada satu daripada enam kesalahan utama yang telah disenaraikan sebelum ini bersempena Op Selamat 14.

Selain itu, bersempena Op Selamat 14 ini juga, pihaknya meletakkan anggota trafik di laluan keluar dan masuk ke pusat bandar.

“Laluan tersebut akan merangkumi jalan keluar ke Utara berhampiran Tol Duta, Tol Sentul Pasar, Tol Sg Besi dan di Jalan Kuching serta Jalan Ipoh untuk pemantauan dan penyuraian trafik jika perlu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×