PUTRAJAYA 30 Jan. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menyifatkan dakwaan yang mengatakan DAP tidak mengiktiraf agama Islam merupakan satu tuduhan melampau sedangkan parti itu bersama kerajaan pada hari ini.
Beliau sehubungan itu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak khususnya pengguna media sosial yang mempertikaikan pelantikan seorang ADUN DAP sebagai Ahli Lembaga Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
“Kalau dalaman, kita ada prosedur iaitu menegur dia, jika melibatkan orang luar terutamanya dalam media sosial, tak semestinya tindakan daripada saya, mungkin daripada orang luar untuk buat laporan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim di sini hari ini.
Katanya, beliau tetap dengan pendirian berhubung pelantikan 10 ahli politik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim.
Menurut Mujahid, walaupun ahli-ahli lembaga itu terdiri daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahupun ahli politik, tetapi pelantikan mereka berdasarkan merit, kelayakan dan pengalaman.
“Kebetulan yang merit itu bersama parti-parti tertentu, jadi kita tidak mahu menjadikan alasan (politik) itu tidak dapat dilantik,” katanya.











