Jemaah menteri sabotaj PM? - Utusan Malaysia

Jemaah menteri sabotaj PM?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Percanggahan kenya­taan antara beberapa menteri Kabinet yang kerap berlaku ketika ini me­nimbulkan persoalan adakah tindakan tersebut sengaja dilakukan bagi mensabotaj Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Malah, pelbagai kenyataan ‘memalukan’ yang dikeluarkan menteri Kabinet terma­suk status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ternya­ta mengundang persoalan mengenai kriteria pemilihan semasa pelantikan dilakukan sama ada berdasarkan kepada faktor kebijaksanaan, pengalaman atau kekananan jawatan dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Jabatan Komunikasi Stra­tegik Penerangan UMNO dalam satu kenyataan turut mempersoalkan sama ada tiada perbincangan dilakukan sesama menteri, tiada semakan atau sekretariat bagi memantau setiap kenya­taan yang dilakukan sehinggakan kenyataan dilakukan tanpa melihat impak kepada rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas kenyataan itu, walhal semasa pemilihan setiap menteri dan timbalan menteri dilakukan, semua pemimpin tertinggi parti komponen PH menyerahkan keputusan tersebut kepada kebijaksa­naan Dr. Mahathir tanpa sebarang bantahan.

“(Namun), satu persoalan yang cukup menarik untuk diteroka adakah semua kenyataan ini bertujuan memalukan Dr. Mahathir? Adakah menteri dari DAP tersilap cakap? Menteri dari Parti Amanah Negara (Amanah) atau PKR tersilap mengeluarkan kenyataan? Adakah ini semua sabotaj terhadap Perdana Menteri?

“Sedangkan, jauh di benak hati kita mestilah ada dalam kalangan pemimpin DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tahu kemampuan sebenar anak buah mereka. Kalau diketahui tidak layak tetapi dimasukkan dalam senarai, maka sudah tentulah Dr. Mahathir disabotaj parti komponennya sendiri daripada awal,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, walaupun majoriti ke­nyataan bersifat lintang-pukang itu sememangnya hadir daripada menteri yang masih ‘setahun jagung’, namun lebih mengelirukan apabila ada juga pemimpin berpe­ngalaman termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang telah mengeluarkan kenya­taan ‘suku masak’ melibatkan status kewarganegaraan Orang Asli.

“Rakyat pada zaman celik siber ini tidak suka diperbodoh-bodohkan dengan kenya­taan sedemikian kerana mereka sebenarnya tahu dan dapat melihat apa yang berlaku.

“Pelbagai adegan ‘flip-flop’ dan drama pusingan-U kerajaan PH yang berlaku juga bukan sahaja menimbulkan keraguan pelabur terhadap negara, malah telah mengelirukan kakitangan kerajaan dan orang awam,” ujar ke­nyataan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini