KUALA LUMPUR 30 Jan. – Semua pihak sepatutnya bersatu membawa Liga Malaysia (Liga M) ke depan dan bukan membiarkan ia berundur ke belakang disebabkan pelbagai masalah yang timbul, terutama isu gaji.
Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul berkata, semua persatuan atau kelab sepatutnya memberikan kerjasama serius kepada beberapa pembaharuan yang dibuat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
MFL baru-baru ini mengumumkan untuk memperkenalkan Kawalan Ekonomi yang dipratikkan dalam La Liga di Sepanyol bagi mengatasi isu gaji pemain yang sering membelenggu Liga M.
Bersama FAM, mereka juga mengumumkan penubuhan badan pengadilan bebas yang modulnya dipinjam daripada badan pengadilan Liga Perdana Inggeris bagi melahirkan pengadil profesional menjelang 2020.
Usaha tersebut diambil bagi mengatasi isu mutu pengadilan liga tempatan yang sering dikritik hebat.
“Satu usaha yang baik bila ada perubahan atau penambahbaikan dibuat tapi ia harus dilakukan lebih serius dan perancangan teliti.
“Saya fikir bila sesuatu keputusan diambil oleh MFL, ia pasti sudah dikaji dan mengambil kira pandangan semua pihak yang terbabit. Semua pihak perlu main peranan bukan MFL saja.
“Semua orang mahu ke depan, mahu menjadi profesional, takkan Malaysia nak patah balik ke belakang (amatur). Untuk menjadi profesional, pemikiran kita juga kena profesional.
“Untuk menjadi profesional, banyak aspek diambil kira dari segi pengurusan, infrastruktur, pembangunan bukan hanya dikira kejayaan pasukan saja.
“Bila ada masalah, kita kena cari jalan penyelesaian. Ambil contoh kalau kita ambil peperiksaan kalau gagal, kita cari jalan untuk atasi masalah itu, pergi tuisyen ke, takkan kita nak patah balik masuk tadika semula.
“Ia satu proses dan mengambil masa tapi apa yang penting semua pihak kena serius,” kata Windsor. – UTUSAN ONLINE










