Dua lagi lot tanah kerajaan diceroboh - Utusan Malaysia

Dua lagi lot tanah kerajaan diceroboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Jan. – Selepas pendedahan pencerobohan tanah kerajaan di Jalan Imbi, terdapat dua lot tanah turut mengalami kes sama yang didakwa dilakukan oleh pihak tertentu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, lot tanah itu membabitkan satu lokasi terletak di Lot 33600, Jalan Kuchai Jaya 1, Mukim Petaling manakala satu tanah lagi di Lot 27679 Jalan Gombak, Mukim Setapak.

“Bagi lot tanah di Jalan Kuchai Jaya 1 yang mempunyai keluasan 0.8 ekar, di atasnya telah dibina satu dewan komersial dengan mendapat kebenaran merancang (DO) pada 25 April 2017.

“Membabitkan satu lot tanah Mukim Setapak berkeluasan 0.7 ekar pula, paling mendukacitakan ia dibina satu dewan tidak mendapat DO sekali gus mengesyaki berlaku pelanggaran undang-undang berhubung pembinaan bangunan di lokasi itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sesi Ramah Mesra Menteri Wilayah Bersama Media di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Menurut Khalid lagi, pihaknya memberi tempoh kepada kedua-dua pemilik bangunan terlibat untuk berjumpa dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian sehingga akhir Februari ini.

Walau bagaimanapun, kata Khalid pihaknya akan membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Tahun Baharu Cina bagi menyiasat sekiranya wujud penyelewengan terhadap pencerohan itu.

“Cari jalan penyelesaian berhubung premis dan penyelewengan adalah dua perkara berbeza, sama ada denda, rampas atau dikenakan tindakan adalah perkara lain,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan segera menyiasat secara lebih lanjut berhubung kebocoran senarai kontraktor tender projek pembangunan sungai di sekitar ibu kota.

“Kita akui ada kebocoran senarai kontraktor tender itu di media sosial dan ia mungkin  dilakukan oleh ‘orang dalam’. Bagaimanapun, proses pemilihan tender telah dilakukan secara bersih melalui cabutan.

“Selain itu, pihak kementerian kini dalam usaha menghapuskan sistem kartel atau orang tengah yang mempunyai hubungan dengan DBKL bagi memastikan setiap tender dilakukan secara telus,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×