Datuk cuba selamatkan cucu maut dirempuh kenderaan - Utusan Malaysia

Datuk cuba selamatkan cucu maut dirempuh kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Seorang lelaki warga China maut selepas cuba menyelamatkan cucunya daripada dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Datai di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu, mangsa, Wang Bing Zhong, 70,(Gambar kecil) mengalami kecederaan pada kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Langkawi (HL) kira-kira 35 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dan cucu perempuannya, Liu Yanci, 4, sedang melihat monyet di tepi jalan.

“Kanak-kanak terbabit kemudian melintas jalan dan mangsa yang melihat ada sebuah kenderaan datang dari arah Datai cuba menyelamatkan cucunya daripada dirempuh.

“Bagaimanapun, cubaan warga emas itu gagal apabila kedua-dua mereka dilanggar kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, mereka yang berasal dari Beijing dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan lelaki warga emas terbabit disahkan meninggal dunia pada pukul 12.45 tengah hari tadi.

“Kanak-kanak itu yang turut mengalami kecederaan pada kepala dilaporkan dalam keadaan sedar dan masih dirawat di hospital,” ujarnya.

Tambahnya, pemandu kenderaan yang melanggar kedua-dua mangsa masih dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta melaporkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.- K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×