KUALA LUMPUR 30 Jan. – Peguam Negara, Tommy Thomas tampil mempertahankan dirinya dalam isu penubuhan tribunal bagi menyiasat bekas ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang prosidingnya bermula semalam.
Kata beliau, penubuhan tribunal itu masih boleh memberi kesan kepada pihak yang disiasat melalui implikasi kewangan yang langsung kepada hak dan faedah persaraan mereka yang diterima jika mereka meletak jawatan, bukan dipecat.
“Pembuatan atau peninggalan anggota SPR tidak kebal daripada penelitian dan siasatan tribunal semata-mata kerana mereka telah meletakkan jawatan.
“Tribunal mungkin tidak hanya terhad kepada syor bagi pemecatan daripada jawatan yang merupakan hukuman paling ekstrem. Malahan tribunal boleh mengemukakan syor lain secara alternatif menurut bahagian kedua mandat,” jelasnya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tommy sebelum ini dikecam ramai pihak yang mendakwa beliau gagal memberikan nasihat perundangan yang tepat kepada Perdana Menteri dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong berkenaan penubuhan tribunal tersebut kerana semua ahli yang disiasat telah meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Tambah Tommy lagi, peletakan jawatan anggota-anggota SPR tersebut dilakukan secara sengaja bagi menggagalkan siasatan tribunal dan untuk mengelakan keaiban akibat pemecatan.
“Peletakan jawatan anggota-anggota SPR tersebut dibuat sebaik sahaja terdapat laporan bahawa kerajaan telah memulakan proses untuk menubuhkan tribunal, namun tarikh berkuat kuasa dilewatkan secara sepihak kepada 1 Januari 2019,” katanya. – UTUSAN ONLINE










