PULAU PINANG 30 Jan. – Seorang warga Amerika Syarikat (AS), James Edward Mahoney ditemukan mati akibat serangan jantung di dalam bilik sebuah hotel di Georgetown, di sini kira-kira pukul 11.45 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, mangsa yang berusia 67 tahun pada mulanya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil bilik hotel yang disewanya seorang diri.
Katanya, mangsa ditemukan oleh pekerja hotel terbabit yang mahu mengemas bilik yang disewa lelaki berkenaan sejak semalam.
“Pemeriksaan pasukan perubatan mendapati mangsa telah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat sebelum disahkan meninggal dunia kerana serangan jantung,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di dalam bilik hotel yang disewa mangsa juga tidak menemukan unsur jenayah dan kejadian itu disifatkan sebagai kes mati mengejut.
Tambahnya, kejadian itu juga sudah dimaklumkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan polis antarabangsa Interpol untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE











