GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) ditemui mati di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Penang di sini hari ini.
Mangsa, James Edward Mahoney, 67, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil oleh salah seorang kakitangan hotel tersebut kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang dalam kenyataan sebentar tadi berkata, siasatan pihaknya mendapati mangsa telah mendaftar masuk di hotel tersebut sejak semalam.
“Semasa pekerja masuk untuk mengemas dan mencuci bilik tersebut, dia mendapati lelaki itu terbaring di atas katil sebelum memaklumkan kepada pengurusan hotel.
“Pihak hotel telah menghubungi talian kecemasan MERS 999 sebelum ambulan tiba bagi melakukan pemeriksaan dan mengesahkan kematiannya,” katanya.
Menurut Che Zaimani, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang di sini bagi urusan bedah siasat.
“Doktor mengesahkan lelaki itu meninggal dunia akibat sakit jantung.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – K! ONLINE










