SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganugerahkan ijazah kehormat kepada Tan Sri Abdul Wahid Omar, tokoh perbankan yang tersohor dan dihormati. Semasa menyampaikan ucapan pada majlis penganugerahan itu beliau berkongsi tiga aspek kepemimpinan untuk memastikan kejayaan dalam sesebuah organisasi secara berkesan dan mampan.
Beliau berkata, aspek kepimpinan pertama adalah keperluan memilih pemimpin yang sesuai. Selain perlunya seorang pemimpin berusaha secara gigih dan pintar, ia juga perlu seseorang yang berintegriti, berkebolehan dan bersikap merendah diri.
Seseorang yang berintegriti adalah seseorang yang membuat perkara betul walaupun tiada yang melihat. Berkebolehan merujuk kepada seseorang yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran relevan untuk membolehkan beliau menjalankan tugas dengan berkesan.
Manakala sikap merendah diri merujuk kepada bersikap saling menghormati, berpijak di bumi yang nyata bukan semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.
Aspek kepemimpinan kedua ialah mempunyai kepelbagaian sebagai sumber kekuatan kepada sesebuah organisasi.
Kepelbagaian yang dimaksudkan adalah dari segi kemahiran, gender, kaum, umur mahupun kewarganegaraan lebih-lebih lagi bagi sebuah syarikat bertaraf multinasional.
Organisasi yang mempraktikkan kepelbagaian dalam kalangan pengurusan mereka biasanya akan mempunyai prestasi lebih baik dan mampan.
Aspek kepemimpinan ketiga ialah menyediakan pelan pewarisan pengurusan dan proses kajian bakat yang berkesan. Pelan ini perlu mengambil kira keseimbangan antara bakat dalaman dengan bakat yang di bawa masuk dari luar.
Sesebuah organisasi amat penting membina bakat dalaman kerana ia memberi peluang kepada kakitangan sedia ada untuk memajukan kerjaya mereka.
Kakitangan yang berbakat di dalam organisasi perlu dihargai kerana ia mampu mengelakkan berlakunya situasi brain drain iaitu pengaliran bakat ke organisasi lain kerana melihat peluang kerjaya mereka untuk berkembang di organisasi lama kabur atau tertutup.
MOHD. ZAINI OTHMAN
Pegawai Tadbir USIM











