KOTA BHARU 29 Jan. – Hanya kerana dikatakan mahu menutup kesalahan mencuri rokok, seorang pemuda sanggup membunuh lelaki berusia 84 tahun di kampung Chap Rimau, Tanah Merah, dekat sini Sabtu lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sisatan awal mendapati suspek yang berusia 33 tahun dipercayai telah menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa yang menjual rokok secara kecil-kecilan kira-kira pukul 3 pagi pada hari kejadian.
Beliau berkata, pada ketika itu, pintu rumah mangsa, Hamid Mat Salleh terbuka kerana dia dikatakan keluar untuk ke tandas yang terletak di luar kediamannya.
“Suspek dikatakan mahu mengambil rokok selepas melihat pintu rumah terbuka, mangsa yang masuk ke rumah terserempak dengan suspek dan berlaku pergelutan.
“Mungkin suspek yang juga jiran mangsa tidak mahu membayar rokok yang diambil. Jadi mangsa dipukul dipercayai dengan cangkul dan kuku kambing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Hasanuddin berkata, siasatan lanjut membawa kepada penangkapan suspek yang tidak bekerja di Tanah Merah kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin. – UTUSAN ONLINE











