Relevankah lagi caj 20 sen bila sisa plastik dunia dihantar ke Malaysia? - Utusan Malaysia

Relevankah lagi caj 20 sen bila sisa plastik dunia dihantar ke Malaysia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUNA di Malaysia kalau mahu beg plastik, kena bayar 20 sen setiap satu. Bermula di Selangor dua tahun lalu dan kini diperluaskan ke hampir seluruh negara. Terbaru, straw plastik pula dilarang.

Tujuannya bagi mengurangkan sisa plastik. Memang niatnya baik dan perlu disokong, cuma caj 20 sen berterusan dipertikaikan kerana tidak tahu ke mana wang itu pergi.

Namun ada satu lagi isu yang lebih besar daripada dasar 20 sen ini iaitu kemasukan sisa plastik dari luar negara untuk dikitar semula. 

Hari demi hari media antarabangsa melaporkan isu ini, dari akhbar berpengaruh Amerika Syarikat (AS) sehinggalah yang terbaru stesen televisyen terkenal, Al Jazeera semalam.

Pelik memang pelik. Dengan rakyat, jangan guna beg plastik tetapi pada masa sama benarkan import besar-besaran sisa plastik orang putih yang berbelas ribu kilometer jauhnya.

Negara maju tidak mahu, kerajaan kita benarkan, baik yang dulu mahu pun sekarang. Duit punya pasal kerana nilai industri kitar semula plastik dianggarkan RM30 bilion setahun dan nilainya di Malaysia pula kira-kira 10 peratus daripadanya.

Memanglah lumayan tetapi China walaupun sebesar benua sudah tidak mahu jadi tong sampah orang. Justeru, laporan berterusan media antarabangsa memberi konotasi negatif yang Malaysia tong sampah dunia. Lebih-lebih lagi sampah itu sisa plastik, sampah yang orang tak mahu.

Untuk kawalnya, sekejap nak gantung permit import, tetapi kemudian benarkan balik. Sekejap nak tutup kilang haram, tetapi masih bagi tempoh. Lepas itu ada pula nak sekat import plastik yang tidak boleh dikitar semula dan macam-macam lagi.

Yang terus makan asap pembakaran plastik oleh pengusaha kitar semula, rakyat khususnya di daerah Kuala Langat dan Klang. Bukan semua plastik boleh dikitar semula, akhirnya dibakar.  

Pada masa sama, relevankah lagi dasar caj 20 sen untuk kurangkan penggunaan beg plastik sedangkan sisa plastik negara orang dibawa masuk besar-besaran?- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×