Pistol imam dilapor hilang dari stor polis 12 tahun lalu - Utusan Malaysia

Pistol imam dilapor hilang dari stor polis 12 tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 29 Jan. – Pistol disimpan seorang imam yang dipercayai terlibat dalam kes memukul isterinya di Kampung Bukit Kadir di Nilai dekat sini pada 24 Januari lalu, disahkan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, pistol jenis Revolver yang berjaya ditemukan semalam itu dilaporkan hilang dari stor senjata Balai Polis Kuala Pilah pada 31 Disember 2007.

Menurut beliau, pistol itu dipercayai diambil secara curang oleh suspek semasa bertugas sebagai anggota polis berpangkat sarjan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah. 

“Perkara ini terdedah selepas polis melakukan pemeriksaan terhadap nombor siri pistol itu. Suspek turut mengaku pistol itu milik PDRM yang diambil secara tidak amanah. 

“Dia merupakan penolong pegawai yang bertugas di Cawangan Persenjataan IPD Kuala Pilah semasa melakukan perbuatan itu,” katanya di sini hari ini.

Imam berusia 63 tahun itu ditahan polis baru-baru ini kerana disyaki memukul isterinya sebelum melepaskan satu das tembakan menggunakan sepucuk pistol selepas berselisih faham dengan wanita itu. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, suspek bertindak demikian ekoran berang dengan tindakan isterinya memajak pokok rambutan di rumah mereka yang telah berbuah kepada penduduk kampung.

Polis kemudian berjaya menemukan pistol jenis Revolver itu yang ditanam oleh suspek di sebuah kawasan di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Selangor semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×