JASIN 29 Jan. – Seorang ibu tunggal yang hilang dari rumahnya di Kampung Orang Asli Solok Terentang, Kampung Jus di sini sejak pagi Sabtu lalu ditemukan dalam keadaan selamat pagi ini.
Rosiah Mansor, 52, yang merupakan ibu tunggal dan menghidap kemurungan ditemukan oleh penduduk pada pukul 9.50 pagi di perkampungan itu, selepas lebih 48 jam dilaporkan hilang dan dia ditemukan kira-kira 2.5 kilometer dari rumahnya.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, sebaik sahaja ditemukan, wanita itu disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan luaran namun dia kemudian segera dibawa ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan.
“Wanita itu ditemukan oleh penduduk Orang Asli di kampung berkenaan dan kemudian segera memaklumkan kepada pasukan bomba dan penyelamat yang ketika itu menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat.
“Keadaan mangsa ketika ditemukan dalam keadaan lemah, mungkin disebabkan sudah beberapa hari tidak makan dan minum namun ingatannya masih baik termasuk mampu mengingati nama dan tempat tinggalnya,” kata jurucakap itu ketika dihubungi sebentar tadi.
Mangsa dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di pekarangan rumahnya di Lorong Kampung Orang Asli Solok Terentang kira-kira pukul 7 pagi Sabtu lalu.
Kehilangan Rosiah yang menghidap sawan sejak darjah 4 selain mengalami kemurungan selepas bercerai kira-kira 15 tahun lalu disedari anak lelakinya, Engku Airil Azuan Tengku Adzha, 32, yang menyedari pintu rumahnya terbuka dan tiada orang di rumah pada pagi itu.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan bantuan sepasukan 30 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Pelbagai Kemahiran (Must) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bermula pada 8 pagi sejak Sabtu lalu sehingga hari ini. – UTUSAN ONLINE










