Tiada idea, pendekatan baharu dalam amanat MB - Utusan Malaysia

Tiada idea, pendekatan baharu dalam amanat MB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 29 Jan. – Menteri Besar, Datuk Osman Sapian disifatkan tidak mempunyai idea baharu dalam Majlis Amanat Menteri Besar kepada 1,500 penjawat awam di Johor semalam.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, tiada idea besar, pendekatan segar dan strategi baharu yang dikongsikan dalam amanat tersebut.

“Sesi Amanat Menteri Besar untuk tahun baru bukan sesi mengulang kaji pelajaran lepas dan membuat rumusan Bajet yang lalu sahaja. Ia jalan ke hadapan. Bukan masa mundur ke belakang.

“Pada saya, kalau dinilai secara kasar, majlis amanat semalam tidak ubah sesi mempamerkan kecekapan dan keseronokan Menteri Besar dalam mengutip dan mengitar semula segala idea 
lepas dan dirumuskan kembali dalam ayat baharu yang lebih ringkas,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Semalam Osman menyampaikan amanat kepada pegawai dan anggota perkhidmatan awam Johor di Kompleks Sukan Educity di Iskandar Puteri semalam dan antaranya intipati utama ucapan ialah 
mahu penjawat awam menyokong kerajaan baharu di negeri ini.

Tradisi amanat itu dimulakan Mohamed Khaled pada masa pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan setiap kali amanat disampaikan biasanya ditekankan beberapa perkara sebagai pendorong dan asas pertimbangan utama untuk kakitangan awam.

Mohamad Khaled berkata, apabila beliau memulakan tradisi amanat itu, ada tiga perkara yang menjadi perkara utama iaitu pertama pembentangan idea-idea baharu yang harus memacu hala 
tuju pembangunan negeri Johor. 

Jelas Naib Presiden UMNO itu, pembentangan tersebut bukan sekadar rumusan dan ringkasan semula Bajet yang dibentangkan pada tahun sebelumnya.

Kedua katanya, mesti mengemukakan dengan lebih spesifik strategi-strategi khusus atau pendekatan yang akan diguna pakai dalam menjayakan beberapa agenda utama.

Ketiga pula ujarnya, mesti meletakkan sasaran jelas yang ingin dicapai untuk tahun itu.

“Lebih baik kalau sasaran ini disertakan sekali dengan bentuk-bentuk penilaian yang akan digunakan untuk mengukur kejayaan sasaran tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×