KEPALA BATAS 29 Jan. – Seorang lelaki warga emas ditahan polis di Jalan Dahlia, Mak Mandin di sini semalam kerana disyaki menagih dadah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, pihak polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 20 gram dan tiga gram syabu bernilai RM1,100 yang dipercayai untuk kegunaan lelaki berusia 59 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











