PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) 2019-2023 diwujudkan sebagai peringatan dan amaran kepada semua pemimpin sekarang dan masa depan bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak menerima amalan rasuah.
Perdana Menteri berkata, pelan itu adalah satu bukti bahawa tindakan yang diambil terhadap perasuah-perasuah yang lepas bukanlah satu tindakan berlandaskan dendam atau benci.
“Pelan ini juga satu pernyataan yang tegas daripada kerajaan sekarang, iaitu pesalah yang lalu telah dan sedang kita kejar dan akan kita hukum, manakala perasuah sekarang dan masa depan akan berdepan dengan tindakan lebih tegas.
“Ianya satu tindakan yang diambil kerana kerosakan yang mereka lakukan kepada negara amat besar dan tidak boleh dibiarkan supaya sesiapa yang merancang untuk melakukan rasuah seperti mereka tidak akan dibiarkan terlepas dan hukumannya adalah lebih berat dan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran NACP 2019-2023 itu di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar; Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan AntiRasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull.
Pada majlis itu, Mahathir turut menyerahkan buku NACP kepada 22 penerima daripada pelbagai latar belakang antaranya wakil menteri, wakil agensi kerajaan dan wakil pertubuhan bukan kerajaan.
Pelan yang dibangunkan GIACC dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan menetapkan sasaran yang praktikal berdasarkan inisiatif yang akan diambil oleh setiap agensi kerajaan dan swasta dalam menangani masalah rasuah, integriti dan tadbir urus untuk tempoh lima tahun akan datang.
Bertemakan Memecah Rantaian Rasuah, NACP yang dibangunkan oleh GIACC bagi menggantikan Pelan Integriti Nasional seperti yang telah diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai AntiRasuah (JKKMAR) pada 8 Jun tahun lalu.
Pelaksanaan pelan itu dibuat berdasarkan 22 strategi dan mengandungi 115 inisiatif antirasuah merangkumi enam sektor utama iaitu sektor politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat. -K! ONLINE











