MILAN 29 Jan. – Jika karier Filippo Inzaghi sebagai pemain bola sepak dianggap gemilang dengan deretan kejayaan namun dia tidak dapat meneruskan kecemerlangannya itu dalam bidang kejurulatihan selepas dipecat daripada mengemudi Bologna dan tempatnya diambil alih Sinisa Mihajlovic dari Serbia.
Pemecatan Inzaghi dilakukan sehari selepas pasukannya dibelasah 0-4 oleh kelab kedua tercorot Serie A, Frosinone sekali gus menyebabkan juara Itali tujuh kali itu berada
di zon penyingkiran dan prestasi Bologna dianggap menyedihkan oleh presiden kelab, Joey Saputo.
Bekas penyerang AC Milan dan Itali itu menjadi jurulatih Serie A yang kelapan dipecat pada musim ini hanya berjaya mencatat dua kemenangan daripada 21 aksi liga malah
tiada kemenangan dalam 14 perlawanan terakhir.
“Kelab mengucapkan terima kasih kepada Filippo Inzaghi untuk kerja yang dilakukannya dengan profesional dan semangat,” kata Bologna. – REUTERS











