ALOR SETAR 27 Jan. – Kematangan politik yang ditunjukkan MIC dengan memberi laluan kepada bekas pegawai polis, Ramli Mohd. Nor menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands wajar dipuji sehingga membolehkan kerusi tradisi itu terus dipertahankan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sikap itu sekali gus memperlihatkan keutamaan mereka adalah semata-mata untuk BN menang dan memperoleh majoriti besar.
“Ini merupakan titik kebangkitan dan kepercayaan rakyat yang kini sudah kembali kepada BN,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Dalam PRK Cameron Higlands semalam, Ramli mendapat 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran yang mendapat 8,800 undi iaitu majoriti 3,238 berbanding 597 undi yang diperoleh Datuk C. Sivarraajh dalam PRU-14.
Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, faktor kemenangan di Cameron Highlands itu antara lain sudah semestinya kerana kesediaan Pas, UMNO serta BN bekerjasama.
Katanya, mereka turun dengan kekuatan masing-masing sehingga sanggup mengorbankan tenaga, masa dan wang ringgit tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan.
“Pas dan UMNO khususnya, juga telah memperlihatkan kemenangan yang memberi makna dan isyarat tersendiri, dan ini juga hasil kerjasama dalam beberapa siri PRK sebelum ini seperti di Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia yang diterjemah secara menyeluruh di Cameron Highlands.
“Malah, kemenangan BN ini turut menunjukkan landskap politik yang diperintah PH hari ini perlu dinilai semula oleh rakyat selepas lapan bulan mereka memerintah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat, resipi kemenangan BN di Cameron Highlands perlu diteruskan dan digandakan untuk berdepan satu lagi PRK di Semenyih, Selangor Mac ini.
“Semangat, pengorbanan yang tinggi dan disokong kerjasama padu semua pihak serta kriteria calon boleh menang, menjadi faktor yang harus diberi tumpuan oleh BN.
“Biarpun PRK itu akan berlangsung di negeri yang diperintah PH termasuk di peringkat pusat, tiada apa yang pelik sekiranya resipi kemenangan di Cameron Highlands dimaksimumkan sebaik mungkin untuk menang di Semenyih pula,” katanya. – UTUSAN ONLINE










