ALOR SETAR 26 Jan. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mahukan pelbagai aktiviti sampingan diadakan bagi menyemarakkan lagi suasana penganjuran Kejohanan Woodball Piala Dunia ke-9 (WCWC) di Perlis, tahun depan.
Baginda bertitah berharap agar penganjuran tersebut bukan sahaja akan menaikkan imej Perlis di pentas dunia tetapi juga membawa limpahan ekonomi.
“Usaha promosi dan publisiti terancang bagi menarik ramai pengunjung perlu dilakukan secara berterusan melalui media sosial, iklan, radio dan televisyen,” titah baginda.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Perancangan Strategik Pelaksanaan WCWC 2020 Perlis anjuran Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Presiden PWNPs, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Timbalannya, Zaharin Haris.
Bengkel sehari tersebut dianjurkan sebagai platform penyatuan minda ke arah mencari hala tuju dan usaha merealisasikan WCWC 2020.
Baginda yang juga Penaung Diraja PWNPs seterusnya bertitah, Ahli Jawatankuasa yang dilantik di segenap peringkat perlulah bertindak pantas dalam merancang dan mengurus perkara-perkara berkaitan.
“Bagi mengelakkan kesulitan di saat-saat akhir, semua pihak harus memperhebatkan gerak kerja dengan mengambil kira aktiviti-aktiviti yang perlu dilaksanakan berbanding masa yang ada,” titah baginda lagi.
Pada masa yang sama, baginda berharap agar PWNPs dapat memastikan kelangsungan WCWC 2020 dalam mengekalkan momentum minat para peserta tempatan, pelaksanaan program, kejohanan dan juga penjagaan serta penambahbaikan terhadap fasiliti woodball di Perlis.
WCWC 2020 akan berlangsung pada 24 hingga 30 Julai tahun depan dengan penglibatan lebih daripada 25 buah negara. – UTUSAN ONLINE











