Mamat Khalid kritikal di ICU - Utusan Malaysia

Mamat Khalid kritikal di ICU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pengarah filem tersohor, Mamat Khalid dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat masalah paru-paru dan jantung.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 56, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, Selangor, sejak Jumaat.

Menurut isterinya Hasmah Hassan, pengarah filem Hantu Kak Limah itu dimasukkan ke ICU dan bermula malam tadi diberikan dos untuk berehat bagi menstabilkan jantungnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekarang saya mengharapkan keajaiban. Bermula malam tadi, suami saya ditidurkan untuk selama 48 jam. Dari masa ke masa, dia dipantau rapi. Bacaan tekanan darahnya mula ada respons positif apabila ahli keluarga membisikkan kata-kata semangat dan diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran,” ujar Hasmah sewaktu dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Hasmah atau lebih mesra dibahasakan Kak Intan turut memohon doa orang ramai untuk kesembuhan suaminya.

Terdahulu pada 2017, Mamat pernah dimasukkan ke ICU sebuah pusat perubatan di Ampang, Kuala Lumpur selepas mengadu sesak nafas selepas majlis tayangan perdana filem Lebuhraya Ke Neraka.

Sebelum itu, pada 2014, Mamat pernah menjalani pembedahan kecil bagi membuka kembali saluran darah tersumbat di jantung. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×