CAMERON HIGHLAND – Seperti yang telah dijangka, Barisan Nasional (BN) melalui calonnya, Ramli Mohd. Nor berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highland dengan memperolehi 12,038 undi mengatasi 10,307 undi pada pemilihan sebelum ini.
BN memperolehi majoriti 3,238 undi berbanding Pakatan Harapan (PH) menerusi calon mereka, M. Manogaran dengan jumlah 8,800 undi.
Calon lain iaitu dari parti Bebas, Sallehudin Ab. talib dan Wong Seng Yee masing-masing hanya memperolehi 314 dan 278 undi.
Peratusan keluar mengundi mencatatkan sebanyak 68.79 peratus iaitu 21,426 pengundi daripada 31,639 jumlah keseluruhan pengundi.
Pelbagai isu yang ditimbulkan oleh PH dalam tempoh 12 hari berkempen tidak mematahkan semangat jentera BN untuk terus mengekalkan kerusi tradisi mereka di sini.
Dengan kemenangan ini, Ramli merupakan Orang Asli pertama sebagai Ahli Parlimen.
Terdahulu, pada PRU lalu, calon MIC yang mewakili BN, Datuk S. Sivaarraj telah memenangi kerusi Parlimen ini dengan kemenangan 10, 307 undi mengatasi Manogaran yang memperolehi 9,710 undi.
Namun keputusan tersebut dibatalkan setelah Mahkamah Pilihan Raya pada November lalu telah membatalkan keputusan PRU-14 bagi kerusi Parlimen tersebut dan mengarahkan supaya pilihan raya diadakan semula. – K! ONLINE









