MELAKA – Tiga pelajar Tunas Bakti di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan amang seksual fizikal serta mencederakan seorang penghuni lain pada minggu lalu.
Tertuduh, dua daripadanya masing-masing berumur 17 dan seorang berumur 16 tahun, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 25 April depan untuk keputusan hukuman bagi menunggu laporan akhlak terhadap ketiga-tiga tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
Mengikut pertuduhan pertama, seorang tertuduh berumur 17 tahun itu didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang penghuni Tunas Bakti berumur 15 tahun kira-kira pukul 10 malam di Asrama Mutiara, Sekolah Tunas Bakti, Batang Tiga pada 19 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Dalam pertuduh kedua, tertuduh sama dan dua lagi rakannya berumur 16 dan 17 tahun didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama dengan cara menendang serta menampar muka remaja itu pada waktu, tempat dan tarikh sama.
Bagi tindakan itu, ketiga-tiga mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM4, 000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari membantah sebarang jaminan kerana bimbang akan keselamatan mangsa memandangkan sekolah itu tidak mempunyai bilik pengasingan bagi kelas serta asrama.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 25 April depan sebagai sebutan semula kes serta keputusan hukuman. Ketiga-tiga pelajar itu kemudian dihantar ke Penjara Sungai Udang, di sini. – K! ONLINE










