Polis tahan 12 individu dalam Ops Dadu di Puchong - Utusan Malaysia

Polis tahan 12 individu dalam Ops Dadu di Puchong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG – Polis menahan tiga individu warga asing termasuk seorang wanita dan sembilan pemain dalam serbuan  Ops Dadu di dua premis di Taman Kinrara, Puchong di sini tengah malam tadi.

Dua warga Indonesia termasuk seorang wanita serta seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 25 hingga 34 tahun ditahan kerana menjadi penjaga dua premis judi tersebut.

Pegawai Turus Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya turut menahan sembilan lelaki berusia 26 hingga 53 tahun yang berjudi di dua premis itu.

“Sindiket tersebut membekalkan pelanggannya dengan tablet beserta nombor siri bagi membolehkan mereka menambah nilai wang pertaruhan menerusi aplikasi WeChat setelah menyerahkan wang tunai kepada penjaga premis.

“Berdasarkan maklumat orang awam, kami telah menyerbu premis pertama yang beroperasi di sebuah pusat snuker,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan di sini awal pagi tadi.

Mohd. Khaizam menambah, dalam serbuan kedua, polis menyerbu sebuah premis yang baru aktif sejak empat hari lalu dan mengaut pertaruhan mencecah RM33,000 sehari.

“Jumlah pertaruhan telah mencecah RM89,000 dalam hanya empat hari menjalankan operasinya.

“Hanya pelanggan tetap sahaja dibenarkan masuk dan premis tersebut turut dilengkapi dengan televisyen litar tertutup (CCTV) serta pintu yang hanya boleh dibuka dari dalam,” ujarnya.

Polis turut merampas lima unit komputer riba, 13 tablet, tiga telefon bimbit, dua modem dan wang tunai bernilai RM1,200 di kedua-dua premis itu.

Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×