LIPIS 24 Jan. – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands menyaksikan Felda Sungai Koyan yang dahulunya tenang menjadi sibuk akibat tumpuan pelbagai pihak yang datang dari seluruh negara.
Dalam kesibukan berkempen mungkin ramai yang tidak menyedari Felda Sungai Koyan merupakan satu-satunya kawasan tanah rancangan Felda yang menempatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), iaitu sebanyak 278 orang, menjadikannya seolah-olah kem mini tentera.
Bagi segelintir orang penempatan berkenaan adalah semata-mata untuk menghargai jasa

pahlawan negara, namun sebenarnya dijadikan serampang dua mata oleh bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak yang bertujuan untuk mengekang pengaruh komunis.
Ini kerana kewujudan tanah rancangan berkenaan di laluan emas iaitu untuk ke Cameron Highlands, Perak atau Kelantan yang merupakan laluan utama amat strategik bagi mengekang pergerakan komunis.
Pengerusi Tetap Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) cawangan Felda Sungai Koyan, Ismail Ali memberitahu veteran tentera di Felda Sungai Koyan datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, kehadiran mereka di situ telah berjaya membantu kerajaan melawan anasir komunis dan pergerakan komunis di negara ini.
“Kami di sini memastikan tiada pergerakan atau pun pengaruh komunis bergerak di sini dan akan memastikan tiada anasir komunis berada di sini selama-lamannya.
“Veteran yang ada di sini adalah daripada pelbagai unit dan kepakaran termasuk pakar dalam pembuatan bom dan juga komando. Kalau ada apa-apa yang mengganggu negara dan kami diminta membantu maka bekalkan sahaja senjata tahulah kami (untuk bertindak),” katanya.
Dalam pada itu katanya, hingga kini semangat patriotik kepada agama, bangsa dan negara terus tertanam dan mereka tidak akan sesekali membiarkan mana-mana pihak mengganggu gugat agama, bangsa, negara atau pun raja-raja Melayu.
“Itulah kami menyirap darah apabila ada pihak yang sengaja membangkitkan perjuangan dan membela komunis sedangkan pejuang dahulu berkorban nyawa bagi memberikan keamanan kepada negara untuk dinikmati anak cucu,” ujarnya.










