Al-Sultan Abdullah utamakan rakyat - Utusan Malaysia

Al-Sultan Abdullah utamakan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang dipilih Majlis Raja-Raja sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 sememangnya pemerintah paling layak diangkat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. 

Sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah yang juga merupakan putera sulung kepada Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Afzan juga bakal mengikuti jejak langkah ayahandanya yang pernah dilantik menggalas tanggungjawab sama sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh pada tahun 1979 sehingga 1984. 

Uniknya, pemerintahan kedua-dua Sultan Pahang sebagai Yang di-Pertuan Agong memperlihatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri walaupun pada dua era berbeza. 

Al-Sultan Abdullah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 16 Januari lalu sememangnya seorang berpengalaman luas, malah memegang rekod dunia sebagai Putera Mahkota kedua paling lama selepas Putera Wales, Putera Charles.

Diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, baginda menjadi Tengku Mahkota kira-kira 44 tahun setelah secara rasmi dilantik sebagai Waris Ganti pada 1 Julai 1975 semasa baginda berusia 16 tahun.

Baginda memikul amanah berkenaan selepas ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah dimasyhurkan secara rasmi sebagai Sultan Pahang ke-5 pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan nenda baginda, Sultan Abu Bakar pada 5 Mei 1974.

Kewibawaan baginda terserlah apabila dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 untuk tempoh lima tahun ketika hanya berumur 20 tahun setelah ayahandanya, Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×