Warga Nigeria mengaku tidak salah abai anjing hingga mati - Utusan Malaysia

Warga Nigeria mengaku tidak salah abai anjing hingga mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang pelajar kolej swasta wanita warga Nigeria untuk pulang ke negara asalnya tidak kesampaian apabila dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas pertuduhan gagal mengambil langkah-langkah untuk memenuhi keperluan persekitaran  sehingga menyebabkan anjing jantan peliharaannya mati tahun lalu.

Tertuduh Judith Ejigini ,28, selaku Orang Kena Saman (OKS) yang sepatutnya pulang ke negara asal malam esok tidak dapat pulang berikutan pasportnya ditahan.

Dalam prosiding itu Judith mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noradura Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Judith didakwa sebagai pemilik gagal mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memenuhi keperluan anjing kepunyaannya kepada persekitaran yang sesuai.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tingkat 16 Blok 1, Zeta Deskye @ Alam Saujana Condominium, jalan 1/12D Off Batu 4 1/2 Jalan Ipoh di sini pada 6.42 petang pukul 22 Februari 2018.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 24(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta772) dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM15,000 atau maksimum RM75,000 atau penjara tidak lebih  dua tahun atau kedua-duanya,jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Hasiah Musa tidak menawarkan jaminan dengan sebab ini merupakan kali keempat kes  disebut di mahkamah yang sebelum ini OKS sudah tiga kali tidak hadir.

“OKS hanya hadir selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan dia juga telah membeli tiket penerbangan untuk pulang ke Nigeria pada malam esok.

“Namun, sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin dan pasport diserahkan ke mahkamah selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×