KUALA LUMPUR – Jangan panik dan bertindaklah dengan pantas untuk menyelamatkan diri sekiranya kenderaan terjatuh ke dalam air seperti dalam laut dan sebagainya, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Beliau berkata, tindakan pertama yang perlu dilakukan adalah membuka tali pinggang keledar kereta bagi membolehkan kelancaran pergerakan diri dalam ruang yang terhad dan menarik nafas supaya mendapat bekalan oksigen yang mencukupi sebelum bergerak keluar dari kereta dengan segera.
“Sekiranya kenderaan mula tengelam, jangan cuba buka pintu pemandu seperti biasa kerana tekanan luar daripada air amat tinggi akan menyukarkan pintu pemandu direnggang atau dibuka.
Ini akan memakan masa dan peluang untuk melepaskan diri semakin berkurang dan sukar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa terlibat perlu menurunkan cermin tingkap sebelah pemandu dengan memusingkan tombol pintu berkenaan dan seterusnya keluar melalui ruang tingkap itu sekiranya cermin pintu atau tingkap sebelah pemandu masih mampu diturunkan.
Mohammad Hamdan berkata sekiranya cermin tingkap sukar diturunkan secara pusingan tombol atau disebabkan pintu rosak dan kemek, mangsa boleh menggunakan kekuatan kaki atau bahan keras tajam yang boleh diperolehi daripada penyandar kepala kerusi pemandu untuk memecahkan cermin kereta.
“Jangan cuba pecahkan cermin hadapan atau windscreen pemandu kerana cermin ini sukar untuk dipecahkan disebabkan ianya keras di atas aspek keselamatan kereta tetapi perlu memecahkan cermin di bahagian kekisi atau sudut pintu sebelah pemandu memandangkan titik ini mudah untuk dipecahkan.
“Tolak segala bahagian pecah itu dengan kaki, kemudian berenang keluar dan seterusnya menyusuri kuak ke atas ke pemukaan air untuk meminta bantuan”.
Mereka juga boleh menanggalkan pakaian dan kasut sekiranya terasa berat bagi memudahkan pergerakan dalam air. – Bernama










