Najib terhibur dengan gelagat Kit Siang - Utusan Malaysia

Najib terhibur dengan gelagat Kit Siang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan rasa pelik terhadap janji yang dibuat oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu menyediakan draf bagi memberikan Orang Asli kewarganegaraan penuh jika Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Katanya, PH memang sudah menjadi Kerajaan Persekutuan yang boleh membantu Orang Asli dan tiada pihak yang mampu menghalang parti itu berbuat demikian.

“Sekali lagi, saya amat terhibur dengan Kit Siang hari ini. Pagi tadi, uncle (Kit Siang) janji akan membuat pelan tindakan (blueprint) supaya Orang Asli boleh menjadi warganegara penuh jika PH menang di Cameron Highlands.

“Untuk makluman uncle, PH hari ini sudah Kerajaan Pusat. Tiada siapa yang boleh menghalang mereka membuat blueprint. Hendak yellowprint, redprint atau greenprint ke, pun boleh,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Tambah Najib, kalau PH benar-benar ikhlas untuk menghasilkan pelan tindakan untuk Orang Asli, perkara itu perlu dibuat sebelum PRK lagi tanpa mengambil kira PH menang atau tidak.

Beliau mempersoalkan adakah Kit Siang yang dirujuknya sebagai menteri hal ehwal Najib (menhen) sedang mengugut Orang Asli bahawa PH tidak akan menjaga Orang Asli dan Orang Asli tidak akan lagi bertaraf warganegara penuh jika PH kalah PRK?

“Wahai Kit Siang, masyarakat Orang Asli memang sudah warganegara penuh Malaysia. Oleh itu, calon Barisan Nasional (BN) ialah Orang Asli anak tempatan.

“Kalau masih tidak puas hati, Kit Siang perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa BN telah letak seorang bukan warganegara Malaysia sebagai calon Ahli Parlimen kita. Apa hal menhen sudah macam menggelabah tak tentu arah baru-baru ini?” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×