KEMAMAN – Sebuah kilang memproses kopi jenama terkenal di negeri ini yang terletak di Kawasan Perindustrian Jakar 3, Chukai di sini diserbu pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam kerana disyaki menggunakan sijil pengesahan halal tamat tempoh.
Dalam serbuan itu, pasukan penguat kuasa agensi itu turut merampas 9,565 paket serbuk kopi jenama berkenaan bernilai RM13,108 yang diproses di kilang berkenaan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, siasatan awal mendapati pengurusan kilang tersebut masih menggunakan sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang telah tamat tempoh sejak tahun 2016.
“Sebuah alat penimbang yang terdapat di dalam kilang berkenaan dalam operasi berkenaan turut dirampas kerana disyaki tidak ditentusahkan oleh Inspektor Timbang dan Sukat.
“Sebelum itu, pasukan penguat kuasa yang disertai Pejabat Kesihatan Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) turut menyerbu sebuah kopitiam yang menggunakan serbuk kopi jenama berkenaan di bandar Chukai, di sini,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KPDNHEP Kemaman di sini hari ini.
Zulfamy berkata, pemilik kilang tersebut disiasat mengikut Perintah 4 Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 14 (6) Akta Timbang Sukat 1972. – K! ONLINE










