MELAKA 21 Jan. – Walaupun baru beroperasi sebulan, Hotel Platinum yang terletak di Pulau Melaka di sini menawarkan elaun sebanyak RM1,000 kepada pelajar Kolej Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang bakal menjalani latihan praktikal di hotel itu tidak lama lagi.
Menerusi bayaran elaun berkenaan, para pelajar bukan sahaja boleh membayar yuran pengajian di kolej berkenaan malah mampu menggunakan lebihan elaun sebagai wang poket perbelanjaan mereka ketika melanjutkan pengajian.
Pengerusi Yayasan DMDI, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, menerusi jalinan kerjasama itu, Hotel Platinum akan mengambil sekurang-kurangnya 20 orang pelajar Kolej Antarabangsa DMDI yang mengambil jurusan Sijil Pengurusan Hotel mulai Mei ini dan mereka akan memulakan latihan praktikal juga pada tahun ini.
“Ini merupakan kerjasama yang baik antara Hotel Platinum dan Kolej Antarabangsa DMDI kerana pelajar boleh menjalani latihan amali di hotel yang baru beroperasi manakala pihak hotel juga dapat membantu para pelajar ini memperoleh pengalaman yang bermakna untuk mereka.
“Selain itu, bayaran elaun RM1,000 sebulan itu juga dikira agak lumayan kepada para pelajar ini kerana selain menjalani latihan mereka juga dapat sumber pendapatan untuk bayar yuran dan wang saku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di hotel tersebut di Pulau Melaka di sini sebentar tadi.
Pada majlis itu, Kolej Antarabangsa DMDI diwakili oleh Rektornya, Prof. Datuk Dr. Amir Hussin Baharuddin manakala The Platinum Hotel & Suites Sdn. Bhd. diwakili Pengurus Besarnya, M. Maniraja. Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Pendidikan Antarabangsa DMDI Sdn. Bhd., Datuk Sharabuddin Kudus dan Pengarah Urusan hotel, Heng Swee Aik. – UTUSAN ONLINE










