LIPIS 20 Jan. – Majoriti warga emas yang terdiri daripada penduduk kampung terus mengeluh dengan beberapa isu terutama membabitkan kos dan bantuan sara hidup ketika bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands semakin terasa.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata daripada mereka sangat berharap dapat bersemuka secara terus dengan calon bagi meluahkan keluhan dan masalah yang dihadapi selama ini walaupun telah seminggu kempen dijalankan.

Bagi Abd. Rani Umur, 92, dia mahu calon PRK Cameron Highlands melihat sendiri bagaimana kesusahan warga emas daripada golongan veteran yang pernah berkhidmat sebagai pejuang negara.
“Ada calon tidak masuk sampai ke kampung-kampung. Hanya di dewan atau pekan terdekat. Sebenarnya, ramai veteran tentera dan polis di sini. Kami sangat berharap calon datang jenguk kami, bertanya khabar dan dengar masalah yang dihadapi.
“Andai menang nanti, selesaikan semua masalah tersebut kerana ini adalah rintihan rakyat.

Bukannya datang sekadar raih sokongan selepas itu senyap hinggalah pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya.
Abd. Rani pernah berkhidmat sebagai anggota Home Guard pada tahun 1951 dan kerahan tenaga bagi menjaga keselamatan negara ketika itu.
Dalam pada itu, Rapa Chu, 72, berkata, dia mahu melihat kehidupan masyarakat luar bandar pada masa akan datang bertambah baik dalam aspek ekonomi dan sosial.
“Tidak kira siapa menang, perkara utama adalah isu berkaitan orang kampung yang mengharapkan pendapatan daripada sektor pertanian dan penternakan.
“Jangan hanya pandai berjanji sahaja. Selepas itu lesap entah ke mana,” katanya.
Kamaliza Kamaruzaman, 37, pula memberitahu, dia akan menyokong calon daripada parti yang tidak hanya pandai berjanji semata-mata, sebaliknya bertanggungjawab demi rakyat.










