WASHINGTON 19 Jan. – “Saya akan beritahu kepada anak-anak saya bahawa kerajaan China sudah membunuh adik mereka.”
Itu adalah antara luahan Mihrigul Tursun yang merupakan seorang daripada bekas tahanan kem etnik Uighur yang dibangunkan oleh China dengan alasan untuk mendidik etnik minoriti itu mengenai dasar serta polisi negara berkenaan.
CNN melaporkan, Mihrigul dan tiga anak kembarnya merupakan antara mangsa penindasan kerajaan China terhadap etnik Uighur di wilayah Xinjiang sehingga seorang daripada anak kembarnya meninggal dunia.
Jelas Mihrigul, sehingga kini pihak berkuasa China tidak memaklumkan punca anak kembarnya meninggal dunia, malah CNN juga gagal mendapatkan reaksi daripada hospital yang terletak di Urumqi, Xinjiang itu.
2015 DETIK DERITA
Segalanya bermula pada 13 Mac 2015 apabila Mihrigul menjejakkan kaki ke Urumqi untuk berjumpa dengan ibu bapanya sebelum ditahan dalam kem selama tiga tahun serta berdepan dengan pelbagai kesengsaraan.
Ketika itu, wanita tersebut membawa tiga anak kembarnya yang berusia lapan minggu ke Xinjiang dari Mesir yang menjadi tempat tinggal serta mencari rezeki.
“Sebaik sahaja saya tiba di Lapangan Terbang Urumqi, saya ditanya pelbagai soalan oleh anggota keselamatan mengenai kenapa saya bekerja di Mesir, siapa kenalan saya di Mesir dan adakah saya mengenali mana-mana etnik Uighur?
“Itu adalah saat di mana saya ditahan dan anak-anak saya dirampas daripada saya,” katanya.
TIADA PENJELASAN KEMATIAN ANAK
Selepas ditahan selama tiga bulan, Mihrigul kemudiannya dibebaskan dan dimaklumkan bahawa seorang daripada tiga anak kembarnya meninggal dunia di Hospital Kanak-Kanak Urumqi.
Kesemua doktor di hospital tersebut memaklumkan bayinya yang dinamakan Mohaned itu meninggal dunia selepas menjalani pembedahan tanpa penjelasan lanjut.
Mihrigul menyatakan dia tidak pernah dimaklumkan kenapa anak-anaknya dimasukkan ke hospital dan apabila ditanya mengapa leher mereka mempunyai bentuk parut yang sama, hospital memaklumkan itu adalah kesan jarum suntikan untuk menyalurkan nutrisi.
Tidak cukup dengan itu, pasport Mihrigul turut dirampas menyebabkan dia tidak dapat keluar dari China.
KEMBALI DITAHAN
Pada April 2017, wanita itu sekali lagi ditahan oleh pihak berkuasa China dan dipisahkan dengan dua anak kembarnya dan memberitahu dia diletakkan dalam satu sel bersama lebih 50 tahanan wanita yang lain di sebuah pusat tahanan di Xinjiang.
“Saya mengenali kebanyakan yang ditahan kerana mereka semua berasal dari kampung saya. Ada dalam kalangan mereka merupakan doktor dan guru. Saya menyaksikan banyak penderitaan sepanjang ditahan termasuk kematian beberapa tahanan,” katanya.
Mihrigul memberitahu, dia dan anak-anaknya benar-benar bebas pada tahun lalu selepas Kedutaan Mesir di Beijing membantunya dikeluarkan daripada tahanan dan disatukan dengan anaknya.
Kini, Mihrigul menetap di Virginia, Amerika Syarikat (AS).
CHINA BUAT WAYANG
Sementara itu, seorang pemuda Uighur, Arfat Aerikan, 21, menyifatkan rakaman televisyen yang menunjukkan kononnya tahanan Uighur diajar dengan pelbagai kemahiran hidup dalam ‘kem pendidikan’ tersebut adalah lakonan semata-mata.
Kata Arfat, ibunya merupakan guru matematik, graduan universiti dan fasih berbahasa Mandarin.
“Ibu saya tidak memerlukan sebarang kemahiran atau pendidikan tambahan, namun dia tetap ditahan atas pelbagai alasan. Ibu bapa saya mula berhenti menelefon atau mesej saya sejak 2017 dan saya mengetahui mereka sudah ditahan daripada keluarga rakan pada Ogos tahun lalu,” jelasnya.
Arfat dilahirkan di Xinjiang namun berhijrah ke AS untuk menyambung pengajian pada 2015.
Pada September lalu, Arfat membuat rakaman video memohon kerajaan AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah sewajarnya.
Pemuda itu memberitahu dia sudah lupa bagaimana suara ibu bapanya dan meminta semua pihak berwajib mengambil tindakan segera terhadap penghapusan etnik yang dilakukan oleh China.
Selain itu, Arfat juga memberitahu dia tidak mengetahui khabar adiknya yang berusia 10 tahun di Xinjiang.
Biarpun Arfat diberi status pencari suaka, namun dia terpaksa berhenti belajar kerana tidak mempunyai wang mencukupi selepas ibu bapanya ditahan.










