CAMERON HIGHLANDS – Masalah liputan internet jalur lebar yang perlahan dan tidak meluas dihadapi penduduk di sini terutamanya warga petani menjadi perhatian calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Wong Seng Yee.
Seng Yee yang menggunakan logo cangkul pada kempennya berkata, kemudahan internet kini sangat penting dan ia menjadi keperluan untuk semua rakyat termasuk para pelancong dalam menjalankan urusan seharian dan kerja mereka.
“Saya mendapat banyak aduan daripada penduduk tempatan dan pelancong yang datang mengenai permasalahan internet di sini.
“Difahamkan, pihak Telekom Malaysia (TM) ada menyediakan perkhidmatan mereka namun hanya di Ringlet dan Ranah Rata sahaja, itupun kelajuannya terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menjalankan kempennya di medan selera di Ringlet di sini hari ini.
Tambah Seng Yee, kemudahan tersebut bagaimanapun tidak terdapat di kawasan lain termasuk Brinchang dan perkampungan Orang Asli.
“Mereka hanya bergantung kepada internet yang disediakan syarikat telco di telefon pintar semata-mata namun ia juga terhad dan kelajuannya juga perlahan.
“Bagaimana para petani mahu menuju ke arah Agrikultur 4.0 sedangkan kemudahan seperti internet jalur lebar tidak disediakan kerajaan?” soalnya.
Menurut Seng Yee, mengikut perhatiannya, industri pertanian di Cameron Highlands kini berada pada paras Agrikultur 1.5 sahaja memandangkan pelbagai kemudahan pertanian, masalah berkaitan pekerja termasuk warga asing, status tanah dan mesin-mesin berteknologi tinggi tidak digunakan.
“Oleh sebab itu saya mahu membawa isu ini ke Parlimen selepas saya memenangi PRK ini dan saya akan menjadi jambatan kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri atas dasar kepentingan rakyat,” jelasnya. – K! ONLINE










