CAMERON HIGHLANDS – Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor terus memperkemaskan kempen dalam usaha memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Bekas pesara polis itu berkata, dalam menuju ke fasa akhir kempen yang tinggal kira-kira seminggu sahaja lagi, pihaknya akan memperkuatkan lagi usaha kempen ke seluruh parlimen Cameron Highlands.
“Kita akan giatkan lagi usaha kempen melalui ramah mesra bersama orang ramai, bertemu dan menyapa mereka selain memahami permasalahan yang dihadapi masyarakat setempat.
“Kempen yang dijalankan jentera BN bersama parti-parti kompenen lain ini dilakukan secara bersih dan saya positif dengan reaksi penduduk terhadap saya setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan bertemu orang ramai di sekitar Ringlet di sini hari ini.
Ramli turut meluangkan masa bersalaman dan berborak-borak dengan calon bebas, Wong Seng Yee yang kebetulan berkempen di lokasi sama.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai tekanan yang dihadapinya apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan akan hadir pada saat-saat akhir kempen iaitu 25 Januari, reaksi Ramli secara spontan ketawa dengan soalan tersebut.
“Mengapa saya perlu tertekan? Saya orang kecil dan Orang Asli sahaja,” katanya. – K! ONLINE










