CAMERON HIGHLANDS 19 Jan. – Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail gagal memahami kehendak dan keperluan penduduk berhubung isu kadar bayaran tempat letak kenderaan.
Menurut beliau, kegagalan itu dapat dilihat menerusi kenyataan Wan Rosdy yang berkata hanya kawasan tumpuan pelancong sahaja dikenakan bayaran iaitu di Tanah Rata, Brinchang dan Kea Farm.
Katanya, kenyataan Wan Rosdy bahawa pengutipan bayaran tujuh hari seminggu itu tidak menjejaskan penduduk di sini juga membuktikan Barisan Nasional (BN) tidak mendengar suara hati mereka.
“Di sini ada lapan kawasan pendudukan utama iaitu di Kampung Raja, Kuala Terla, Tringkap, Brinchang, Tanah Rata, Habu, Ringlet dan Lembah Bertam. Tanah Rata dan Brinchang merupakan kawasan terbesar didiami penduduk.
“Kedua-dua kawasan ini masing-masing merupakan pusat pentadbiran dan pusat perniagaan utama. Oleh itu, penduduk di seluruh daerah ini akan pergi ke dua tempat ini untuk menjalankan aktiviti harian sama ada urusan rasmi atau membeli-belah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Wan Rosdy dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, hanya kawasan yang menjadi tumpuan pelancong sahaja dikenakan bayaran manakala penempatan penduduk seperti di Lembah Bertam, Ringlet, Habu, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja tidak dikenakan sebarang bayaran. – UTUSAN ONLINE










