KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi mengesahkan pasukannya berminat untuk mendapatkan khidmat pemain import sensasi dari Kosovo, Liridon Krasniqi musim ini.
Sebagai rekod, gambar Liridon menjalani sesi latihan pramusim bersama Melaka United telah menjadi tular semalam sebelum memuat naik gambar bersama ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan dalam laman sosial instagram miliknya.
“Saya boleh mengesahkan bahawa pasukan berminat untuk mendapatkan khidmat Liridon tetapi segalanya bergantung dengan penilaian jurulatih (Zainal) dan Presiden MUSA (Adly Zahari),” katanya ketika ditemui pemberita di Ampang, pagi tadi.
Liridon merupakan salah seorang pemain import berpengaruh di Malaysia selepas mewakili Kedah sejak musim 2015 tetapi kini mencari pasukan baharu kerana kontraknya tidak disambung oleh pasukan Helang Merah. – K! ONLINE











