KUALA LUMPUR 19 Jan. – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bercadang menghantar peguam pemerhati bagi mengikuti perkembangan kes Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah terhadap Kerajaan Negeri Kelantan berhubung tanah adat Orang Asli.
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata, pihaknya bimbang dengan isu pencerobohan tanah Orang Asli yang berlaku di beberapa negeri termasuk Kelantan.
“Tindakan Kerajaan Negeri Kelantan dan agensinya jelas menggambarkan layanan buruk terhadap masyarakat pribumi serta kurangnya rasa hormat terhadap hak-hak mereka.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara apabila kerajaan campur tangan dalam menangani isu Orang Asli dan tindakan ini seharusnya dilaksanakan sejak dahulu lagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Tommy memberitahu Jabatan Peguam Negara telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi pihak Kerajaan Persekutuan antara lain untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang.
Tambah Razali, walaupun isu tanah merupakan bidang kuasa kerajaan negeri namun Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk menegakkan hak Orang Asli kerana mereka juga merupakan rakyat di negara ini. – UTUSAN ONLINE










